Wednesday, 12 December 2018

CORETAN AKHIR TAHUN 2018


SAKITNYA ITU DI SINI

Rezeki itu bukan hanya pada duit
Kesihatan itu rezeki, anak itu rezeki
Kelapangan dan ketenangan itu rezeki
Udara dan bumi yang dipijak ini juga rezeki
Duit seribu itu mungkin tiada nilai bagi yang berkereta Mercedes Benz
Duit seratus itu mungkin tiada nilai bagi yang bergaji ribuan
Duit seringgit itu mungkin tiada nilai bagi orang kebanyakan
Duit lima sen itu mungkin tiada nilai bagi sesiapapun
Cuma berikan seribu itu kepada seorang ibu yang baru kematian suami
Berikan seratus itu kepada seorang yang baru kehilangan pekerjaan
Berikan seringgit itu kepada kanak-kanak di muka pintu CIMB yang duduk menghulurkan tisu muka
Berikan duit lima sen itu kepada pemuda di kaunter kad guris parker MPK
Lihatlah wajah mereka
Kegusaran dan kepahitan itu bertukar bukan?
Peluh keringat dari si petani,penoreh, nelayan, pengimpal, pengutip sampah
Jatuh bangun peniaga, pengusaha, hatta penjual online tiada siapa yang tahu
Setiap malam merintih di hadapan tuhan mereka
Penuh harapan dalam sujud berdoa moga dengan nikmat tuhan mereka tanah Kaabah dapat dipijak
Masjid Nabawi dapat ditatap dan penuh harapan mereka mahu bersolat dan beribadah di dalamnya
Merindui hari kerinduan terhadap Nabi mereka dapat dilepaskan
Adakah bila duit yang dikumpul itu digunakan sewenang-wenangnya
Maka mereka akan berkata, redhalah, tiada rezeki kami disitu?
Allah itu Maha Adil dan biarlah Dia yang Maha Membalas perlakuan manusia itu?

Lewat dewasa ini saban hari aku lelah melihat pentas kehidupan dunia
Seringkali aku memikirkan hari pertemuanku dengan Tuhanku nanti yang bagaimana?
Wajah-wajah manusia yang telah meninggalkan dunia yang fatomorgana ini mendatangi pandangan
Diselangi dengan wajah kelat tua ibu dan ayah yang masih kudamba kasih mereka
Dan selit wajah anak-anak yang masih minta dikasihi dan dibelai
Andai sampai waktu nyawa berpisah dari jasad
Apakah bekalan dunia ini sudah cukup aku tuai untuk dibawa ke akhirat
Adakah aku pergi dengan Tuhanku meredhai aku
Adakah aku pergi dengan suamiku meredhai aku
Adakah aku pergi dengan ibubapaku meredhai aku
Adakah aku pergi dengan anak dan saudara meredhai aku
Adakah aku pergi dengan masyarakat meredhai aku
Aku gugup sendiri tidak dapat menghitung
Aku mahu bangun dan berjuang sehingga semua meredhai aku
Begitu juga akhirnya sehingga Tuhanku yang Maha Pemurah dan Penyayang meredhai aku
Ameen Ya Rabbal A'lamin