Sunday, 1 January 2017

KLINIK RIZLYNN HIDUP MEMBERI


Saat kita dilahirkan kita mula meminta. Minta disusukan, minta dibelai, minta dikasihi. Jika tidak diperolehi, kita menangis. Tanpa kita sedari kita sentiasa meminta. Dari alam sekolah rendah ke menengah, ke universiti dan ia menganjak ke alam pekerjaan dan rumahtangga. Semua permintaan tersebut meliputi permintaan terhadap manusia. Ya, mana mungkin kita tidak meminta kerna kita bukan hidup sendirian. Logik akal di situ.

Sedari tidak kita sebenarnya peminta sejak azali. Tidak perlu logik akal sahaja. Al Quran dan Nabi  junjungan kita menjelaskan kebergantungan manusia kepada Pencipta kita. Maka permulaan permintaan sebenarnya bukan dari saat kita dilahirkan. Ia dari alam roh dan alam rahim lagi. Kebergantungan total kita adalah terhadap Ilahi. Allah yang Maha Pemurah menjadikan rahim ibu seimbang ketika kita dalam usia perkembangan janin. Diberinya kita sempurna sifat sebagai manusia apabila dilahirkan. Namun adakah kita mensyukuri nikmat tersebut? Kelaziman manusia adalah apabila diberi kesusahan kita ingat, tetapi apabila diberikan nikmat kita leka.

"Saya datang untuk confirm pregnancy doktor"... itulah nikmat permberian Allah.
" Saya datang nak scan doktor, saya mengandung dua bulan tapi ada darah sejak semalam"........itulah ujian Allah.
Walau apa jua situasi ingatlah Dialah tuhan yang wajib kita sandarkan, bukan pada doktor, bukan pada ubat. Dengan mengingati Dia, kita akan menjadi manusia PEMBERI dan PEMAAF.



Bagaimana mahu memberi sekiranya kita tiada apa-apa? Apakah benar kita tiada apa-apa? Kata Saidina Ali orang yang paling pemurah ialah orang yang memberi dalam dia tiada apa-apa.

Bersempena dengan azam tahun baru 2017 jadikan kami ya Allah seorang insan pemberi dan yang sentiasa mensyukuri nikmatMu!

"Ya Allah kurniakanlah kami lisan yang lembut basah mengingati dan menyebut namaMu serta badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada perintahMu
Ya Allah kurniakanlah kami iman yang sempurna, hati yang khuyuk, ilmu yang berguna, keyakinan yang benar-benar mantap
Ya Allah kurniakanlah kami ad-Deen cara hidup yang jitu dan unggul selamat dari segala mara bahaya dan petaka
Kami mohon (Ya Allah) kecukupan yang tidak sampai terpaksa meminta jasa orang lain
Berikanlah kami ya Allah iman yang sebenarnya sehingga kami tidak lagi gentar atau mengharapkan orang lain selain dari Engkau sendiri
Kembangkanlah lembayung rahmatMu kepada kami, keluarga dan anak-anak kami serta sesiapa sahaja yang bersama-sama kami
Janganlah Ya Allah Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri, walaupun kadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih pendek dari itu
Wahai Tuhan yang mudah dan cepat memperkenankan permintaan, (perkenankanlah)"

                                                                                Ameeen